KHAMIS, 12 MEI 2022
MIRI: Pejabat Residen Bahagian Miri dengan kerjasama agensi dan jabatan di Kompleks Islam Sarawak Miri telah mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Pra-Gawai 2022 di Dewan Serbaguna, Kompleks Islam Sarawak, Miri pada Khamis.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita Dan Kanak-Kanak) Datuk Rosey Yunus telah menghadiri majlis yang julung kalinya diadakan di situ selepas pandemik COVID-19 melanda negara sejak dua tahun lepas.
Majlis ini merupakan satu platform untuk mengeratkan hubungan silaturrahim serta bagi menjalin kemesraan dalam kalangan semua hadirin yang hadir.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran dan disusuli lawatan ke gerai oleh tetamu kehormat diiringi oleh Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf.
Dalam majlis ini, sambutan turut dimeriahkan dengan penyertaan daripada lapan buah agensi dan jabatan yang menyediakan “Teratak Raya” dan “Ruai Gawai” yang menyajikan pelbagai juadah Hari Raya Aidilfitri serta hidangan Hari Gawai seperti kelupis, rendang, kari, ayam pansuh, kuih raya serta pelbagai lagi hidangan.
“Teratak Raya” dan “Ruai Gawai” merupakan satu tarikan dalam majlis ini yang menjadi simbol kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini serta saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.
Kemuncak kemeriahan majlis ini adalah apabila Majlis Ketua Masyarakat Melayu Miri (MAKMUM) dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Gerai Cantik & Kreatif Majlis Ramah Tamah Aidilfitri & Pra-Gawai 2022 sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM600.
Manakala tempat kedua dan ketiga adalah milik Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) Miri dan Pejabat Hutan Wilayah Miri yang masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM400 dan RM300.
Turut menyertai Pertandingan Gerai Cantik & Kreatif Majlis Ramah Tamah Aidilfitri & Pra-Gawai 2022 adalah Pejabat Residen Bahagian Miri dan Pejabat Daerah Miri (Kampung RANDO); Jabatan Perbendaharaan Bahagian Miri; Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Miri; Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri serta Pejabat Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Iban Daerah Miri yang masing-masing turut membawa pulang hadiah saguhati sebanyak RM100.
Hadir sama, Temenggong Datu Abdul Rahman Fadzail, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak, Bahagian Miri Rosidi Masli, Pegawai Agama Islam Bahagian Miri Awang Nib Zuhairi Awang Ahmad, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai dan Kr. Nicholas Toh mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak serta wakil-wakil dari agensi dan jabatan di Bahagian Miri. -EDISI UKAS