NSJA Anjur Majlis Apresiasi Media Sempena Hari Wartawan Nasional

KHAMIS, 12 MEI 2022

MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) bakal anjurkan Majlis Makan Malam Apresiasi Media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 27 Mei depan di Hotel Mega, Miri.

Pengerusi Pengelola Majlis, Catherine Igang berkata, majlis tersebut bakal dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya tarikh tersebut dipilih sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

“Memandangkan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) berkuatkuasa mulai 1 Mei lepas, maka kita merancang untuk mengadakan Majlis Makan Malam Apresiasi Media.

“Hari Wartawan Nasional telah diiktirafkan oleh kerajaan Malaysia sejak tahun 2018 dan tujuan majlis ini diadakan adalah untuk merapatkan silaturahim antara semua wartawan di seluruh Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei sebagai momen peringatan HAWANA dan akan disambut pada setiap tahun.

Dalam pada itu, Catherine Igang menyeru orang ramai yang ingin memberi sokongan kepada media dimohon memberi sumbangan hadiah untuk cabutan bertuah pada malam tersebut sebagai tanda penghargaan kepada media.

“Photo booth juga akan disediakan oleh pihak Hotel Mega untuk para hadirin mengambil gambar kenangan kerana julung kalinya NSJA meraikan Hari Wartawan Nasional,” ujar beliau. -EDISI UKAS

add comment