SABERKAS Anjur Pertandingan Mencipta Logo, Video Pendek

KHAMIS, 12 MEI 2022

KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) akan menganjurkan pertandingan mencipta logo dan video pendek sempena 50 tahun penubuhannya sejak Mac 1973.

Menurut Timbalan Presiden SABERKAS, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan bagi kedua-dua pertandingan tersebut bernilai RM39,000.

Pertandingan mencipta logo akan bermula pada 12 Mei sehingga 30 Jun 2022 manakala pertandingan video pendek bermula dari 12 Mei sehingga 30 Julai 2022.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua yang berminat, sama ada mereka ahli ataupun bukan ahli SABERKAS, di mana mereka mesti mematuhi syarat penyertaan yang telah ditetapkan.

“Penyertaan untuk pertandingan ini adalah melalui imbasan Kod QR yang telah disediakan dan diisi melalui Google Form,” katanya pada sidang media khas Pertandingan Mencipta Logo dan Pertandingan Mencipta Video Pendek Sempena Sambutan Jubli Emas SABERKAS di Bilik Mesyuarat SABERKAS pada Khamis.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung SABERKAS, Safiee Ahmad menjelaskan, logo dan video yang menang nanti akan menjadi logo dan video rasmi untuk program-program SABERKAS selepas ini.

“SABERKAS memang sudah ada logo, cuma pertandingan ini kita nak buat logo tambahan sempena Sambutan Jubli Emas yang ke-50 nanti,” jelas Safiee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro.

Johan pertandingan mencipta logo akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 berserta sijil kemenangan, manakala johan bagi kategori video pendek akan menggondol wang tunai berjumlah RM10,000 serta sijil kemenangan.

Orang ramai digalakan untuk turut serta dalam pertandingan ini. – EDISI UKAS

add comment