Timbalan Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Daripada Element 25 Limited, Australia

KHAMIS, 12 MEI 2022

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan hormat daripada pihak Element 25 Limited, Australia di pejabatnya di Wisma Sumber Alam, pada Selasa.

Kunjungan hormat tersebut yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Justin Brown dan Pengurus Pembangunan, Neil Graham adalah atas urusan pihak Element 25 yang berminat untuk melabur dalam projek pengeluaran ‘high purity manganese sulphate’ bateri litium-ion.

Sehubungan itu, mereka bercadang untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi projek itu di Sarawak memandangkan negeri ini berminat dalam sektor kenderaan eletrik (EV) dan telah mempunyai pengeluar ‘copperfoil’ di Kuching.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan dan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak memaklumkan, pihak kerajaan sedang berbincang dengan beberapa pelabur yang berminat untuk mengeluarkan bahan api hidrogen di Sarawak untuk memanfaatkan ketersediaan tenaga elektrik hijau.

Jelasnya, ini adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi merangkumi kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Dzulkornain Masron, Pegawai Khas MINTRED, Datu Liaw Soon Eng, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sarawak, Jona Kerani dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu, Datu Muhammad Yakub Kari. -EDISI UKAS

add comment