KHAMIS, 12 MEI 2022
BEKENU: Masalah hakisan pantai dan sungai di kawasan Bekenu perlu diberi perhatian serius bagi mengelak ia daripada menimbulkan kesan terhadap persekitarannya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita Dan Kanak-kanak), Datuk Rosey Yunus berkata, masalah hakisan pantai terutama di Pantai Tusan berlaku dengan sangat cepat.
Justeru beliau berharap Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) mengkaji secara keseluruhan permasalahan hakisan di kawasan ini dan keutamaan yang perlu diambil tindakan segera.
“Masalah hakisan pantai terutama di Pantai Tusan yang merupakan salah satu pusat pelancongan di Kawasan Bekenu. Hakisan berlaku dengan sangat cepat.
“Hakisan ini perlu diberi perhatian serius kerana bimbang kesannya kepada bangunan yang sedia ada,” katanya selepas melakukan lawatan ke kawasan berisiko banjir kilat dan hakisan pantai pada Rabu.
Antara kawasan yang dilawati adalah Kampung Menjelin, Kampung Angus Ria, Pantai Tusan, Pantai Bungai, Kampung Kayu Kapor dan Kampung Jenggalas.
Selain itu Datuk Rosey berkata lagi, hakisan pantai turut berlaku di Pantai Bungai dan Pantai Kuala Sibuti.
“Kawasan ini adalah kawasan penempatan dan pelancongan. Hakisan berlaku dengan cepat dan ia menjejaskan kawasan halaman rumah dilanda air,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu beliau turut menambah, kawasan yang kerap banjir juga dikesan kerana sistem perparitan dan jalan laluan air keluar di beberapa kampung.
“Saya berharap pihak DID dapat memikirkan dan mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan berlaku banjir kilat dan takungan air,” kata beliau lagi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Miri Hiew Si Tien, Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Subis Dr. James Jam Jolly, dan wakil Majlis Daerah Subis.-EDISI UKAS