Dr. Richard Rapu Tinjau Beberapa Projek RTP Di Bahagian Betong

JUMAAT, 13 MEI 2022

BETONG: Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr. Richard Rapu telah membuat tinjauan ke tapak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong pada Khamis.

Tinjauan tersebut bagi membuat pemantauan terhadap projek yang telah siap dan merangka keperluan untuk sambungan projek di fasa berikutnya.

Lokasi pertama adalah melibatkan kawasan rumah panjang Nanga Bangkit, Spaoh yang baru siap dilaksanakan iaitu Membina Jalan Putus Nanga Bangkit, Spaoh dengan kos RM300,000.

Menurut Dr. Richard, kualiti kerja-kerja projek ini adalah dilihat amat baik dan memuaskan.

Tambahnya, apa yang lebih penting adalah perbincangan beliau dengan pihak JKR Bahagian Betong yang diwakili oleh Jurutera Awam, Dayang Nurashreen Muneera Awg Mahmud bagi merangka sambungan projek ini di fasa berikutnya di mana anggaran jajaran sepanjang 1.2km lagi untuk sampai ke rumah panjang Putus, Spaoh.

Seterusnya, lokasi kedua tinjauan adalah di kawasan rumah panjang Ulu Bayor, Rimbas, Debak iaitu projek Membina Jambatan I-Beam ke Tanah Perkuburan di Ulu Bayor, Debak.

Difahamkan, projek yang dijadualkan bermula pada 27 September 2021 telah siap sepenuhnya pada 14 Februari 2022 yang lalu.

Dr. Richard Rapu juga berkesempatan untuk melihat sendiri projek ini dan menyatakan projek ini telah disiapkan dengan baik dan memuaskan.

Pada sebelah petang pula, beliau telah membuat tinjauan bagi melihat keadaan Jalan Ulu Padeh menuju ke rumah panjang Merunjau, Padeh, Betong.

Untuk makluman, rumah panjang Merunjau, Padeh, Betong mempunyai dua jalan akses masuk yang sebahagian jalan adalah masih jalan tanah dengan hamparan batu dan dilihat memerlukan penyelenggaraan.

Dalam pada itu, tinjuan tersebut bagi membincangkan berkaitan cadangan untuk kerja-kerja naiktaraf jalan akses ke-2 mereka iaitu Jalan Ulu Padeh menuju ke rumah panjang Merunjau yang merupakan laluan grid elektrik dan amat diperlukan oleh pihak Syarikat SESCO Berhad bagi kerja-kerja penyelengaraan.

Selain itu, Dr. Richard dan rombongan berkesempatan meninjau projek RTP bagi kerja-kerja naiktaraf jalan simpang masuk ke rumah panjang Engkalat, Spak, Betong yang sedang dalam pelaksanaan serta turut singgah di Rumah Panjang Linsom, Layar, Betong bagi melihat projek RTP naiktaraf prasarana di kawasan rumah panjang yang kini di dalam fasa akhir pembinaannya.-EDISI UKAS

add comment