Perkhidmatan Bas Henti-Henti Di Bintulu Kembali Beroperasi

JUMAAT, 13 MEI 2022

BINTULU: Warga Bintulu kini kembali menikmati perkhidmatan bas henti-henti selepas lebih 10 tahun tidak beroperasi.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin memberitahu, perkhidmatan bas itu telah bermula sejak Januari lepas.

Katanya, mengikut statistik daripada pengusaha bas, seramai 150 orang menggunakan bas dalam sehari.

“Perkhidmatan bas henti-henti ini adalah penting untuk penduduk di bandar terutama bagi mereka yang tidak mampu memiliki kenderaan peribadi.

“Sekiranya semakin banyak orang mengambil pengangkutan bas, kemungkinan besar kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan,” ujarnya semasa merasmikan program Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 di Terminal Bas 1Malaysia di sini pada Khamis.

Sementara itu, Dato’ Sri Lee memaklumkan, berdasarkan statistik pada tahun 2021, terdapat sejumlah 1,168,694 kenderaan bermotor di seluruh Sarawak iaitu motosikal berjumlah 407,247 (34.8 peratus) dan kereta berjumlah 694,570 (59.4 peratus).

“Bagi tahun 2021, Bintulu mempunyai sebanyak 90,554 kenderaan bermotor yang berdaftar.

“Daripada jumlah ini sejumlah 24,450 (27 peratus) adalah motosikal dan 60,345 (66.6 peratus) adalah kereta,” jelas beliau.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak 1 Datuk Dr Jerip Susil, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming.-EDISI UKAS

add comment