Peruntukan RM600 Juta Bagi Pembangunan Pendidikan Di Bawah NRDA Masih Tidak Mencukupi

JUMAAT, 13 MEI 2022

LIMBANG: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta dalam bidang pendidikan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA). 

Menurut Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, peruntukan tersebut masih tidak mencukupi untuk melaksanakan pembangunan pendidikan khususnya kemudahan infrastruktur di daerah Limbang dan Lawas. 

“Saya difahamkan peruntukan tersebut masih tidak mencukupi kerana banyak sekolah daif yang memerlukan peruntukan baik pulih dan penaiktarafan. 

“Bagaimanapun, alhamdulillah ada juga perubahan di sekolah-sekolah secara berperingkat-peringkat,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Empat di Dewan Kampung Sayung pada Rabu.

Pada masa ini, Kerajaan Sarawak juga sedang menaik taraf bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang yang lama untuk dijadikan Pusat Tingkatan 6 di Bahagian Limbang.

Ujar Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, sekolah sangat dekat dihatinya kerana merupakan asas untuk membentuk insan, modal-modal insan dan generasi masa depan.

“Setiap tahun banyak peruntukan yang disediakan khusus untuk sekolah yang diberikan kepada PIBG. 

“Dulu semasa menjadi ADUN biasa, saya berikan RM3,000 kepada PIBG di setiap sekolah rendah dan RM5,000 kepada sekolah menengah, tetapi setelah naik pangkat sikit saya berikan RM5,000 kepada PIBG sekolah rendah dan RM10,000 kepada PIBG sekolah menengah untuk aktiviti tahunan. 

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM28,000 kepada PIBG SK Batu Empat bagi pembelian 8 unit televisyen pintar. 

Hadir semua Walikota Majlis Daerah Limbang merangkap Pengerusi PIBG SK Batu Empat Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Guru Besar SK Batu Empat Limbang Sheikh Mohamad Ali Sheikh Ahmad, Pemanca Abu Bakar Tinggal, Penghulu Latip Tujoh dan Ketua Kampung Sayung Yaman Mumin.-EDISI UKAS

add comment