Projek RTP IPG Kampus Rajang Bintangor Diluluskan, Dilaksanakan Pada Masa Terdekat

JUMAAT, 13 MEI 2022

BINTANGOR : Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong telah diluluskan bagi menaiktaraf prasarana Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang Bintangor pada tahun 2022.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, pelaksanaan projek ini akan dijalankan secara berperingkat mengikut dana yang telah diluluskan melalui Kerajaan Sarawak pada setiap tahun dan kontraktor akan dilantik melalui agensi pelaksanaan dengan cabutan undi.

Jelasnya lagi, pelaksanaan projek ini akan secara berterusan pada setiap tahun oleh Kerajaan Sarawak di bawah pucuk pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bagi menjamin pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur amnya di daerah Meradong.

Datuk Ding juga berterima kasih dengan seliaan dan kerjasama melalui Jabatan Kerjaraya (JKR) Bahagian Sarikei kerana sentiasa membuat pemantauan dan memastikan pelaksanaan Projek RTP mengikut komponen yang telah dicadangkan.

Dalam pada itu, jumlah kos projek tersebut adalah bernilai RM500,000 dan tarikh projek akan bermula pada 15 Mei 2022 sehingga 12 November 2022 iaitu dalam tempoh enam bulan.

Selain itu , Datuk Ding juga sempat membuat lawatan dan tinjauan cadangan projek RTP Tahun 2022 untuk menaiktaraf prasarana Surau Al-Muhajirin, Taman Bintang Bintangor dan Padang Futsal Taman Bintang Bintangor.-EDISI UKAS

add comment