UNION Sedia Duduk Semeja Dengan Agensi Kerajaan, Selesai Isu Projek Sakit

JUMAAT, 13 MEI 2022

PUSA: Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri Sarawak (UNION) sedia duduk semeja dengan agensi kerajaan pusat atau negeri untuk mencari jalan penyelesaian terhadap projek sakit.

Ia ditegaskan Timbalan Menterinya, Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya sambil berkata projek sakit atau mengalami kelewatan perlu diberikan perhatian demi kesejahteraan rakyat setempat.

Malah ujarnya, UNION juga akan mencari inisiatif untuk membantu projek yang bermasalah serta berbincang dengan wakil rakyat untuk mengatasi masalah rakyat di kawasan.

Katanya lagi, UNION juga sedia mendengar keluhan daripada rakyat setempat bagi memastikan setiap masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penangguhan Rasmi Jelajah Integriti Siri 4/2022 Bahagian Betong di Dewan Kampung Beladin, Pusa pada Jumaat.

Terdahulu, ADUN Beting Maro Razaili Gapor menzahirkan terima kasih kepada Dato Dr Juanda atas kesudian melawat dan melihat sendiri keadaan beberapa projek sakit di kawasan ini dan berharap pihak UNION dapat membantu dalam mempercepatkan projek-projek berkenaan.

Katanya, terdapat beberapa projek meja di kawasan itu yang sedang giat dijalankan dan akan memberi manfaat kepada penduduk apabila ia siap nanti.

Beliau menambah, projek sakit yang tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib akan memberi kerugian kepada penduduk setempat. – EDISI UKAS

add comment