Dato Seri Tiong Meriahkan Majlis Pra Gawai DUN Dudong Dan Yayasan Nayun, Sibu

SABTU, 14 MEI 2022

SIBU: Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China, Dato Seri Tiong King Sing memeriahkan sambutan Majlis Pra Gawai DUN Dudong bersama Yayasan Nayun, Sibu yang diadakan di Hotel Kingwood, Sibu pada Jumaat.

Majlis anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) Dudong itu turut dihadiri kira-kira 1600 hadirin termasuk tuai rumah dari 203 buah rumah panjang sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong.

Dalam ucapannya, Dato Seri Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong merakamkan penghargaan kepada semua tuai-tuai rumah, ketua masyarakat dan semua pengundi di Dudong kerana telah memberi sokongan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang lepas.

Ujarnya, kemenangan itu bukan untuk beliau sahaja, tetapi untuk semua penduduk di kawasan Dudong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu juga berharap semua ketua masyarakat tuai rumah dapat berkerjasama menyelesaikan masalah yang dihadapi di kawasan Dudong selama ini.

Dalam majlis itu juga, Dato Seri Tiong telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk Yayasan Nayun Sibu.

Turut disampaikan Insentif Akademik Keluarga Nayun, khas untuk ahli dan Anak Yayasan Nayun seramai 43 orang yang telah menamatkan pengajian dan seramai 14 orang yang masih dalam pengajian di peringkat master, ijazah dan diploma di Institut Pengajian Awam dan swasta setakat 12 Mei 2022. – EDISI UKAS

add comment