Keluarga Kurang Kemampuan Boleh Mohon Program Pembasmian Kemiskinan Bandar

SABTU, 14 MEI 2022

SIBU: Ketua isi rumah yang kurang berkemampuan di kawasan Bukit Assek boleh memohon bantuan baik pulih rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, program PPKB bertujuan untuk membaik pulih rumah yang dalam keadaan daif

Katanya, ia seperti pembaikan atau penggantian bumbung, siling, dinding lantai, tingkap, pintu, pagar, tangga dan tandas dengan maksimum kos pembaikan bagi setiap rumah adalah sebanyak RM15,000.

“Saya juga amat memahami bahawa banyak usaha baik pulih dan pembinaan yang perlu dijalankan di kawasan Bukit Assek bagi meningkatkan keceriaan dan kualiti hidup rakyat di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Pra Gawai untuk masyarakat di kawasan Sentosa pada Khamis.

Dalam pada itu, Joseph Chieng turut merakamkan ucapan terima kasih dan di atas sokongan serta kepercayaan penduduk di kawasan tersebut kepadanya semasa memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 lepas.

Turut hadir, Timbalan Presiden SUPP Pusat selaku Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek, Datuk Chieng Buong Toon, Ketua Pemuda SUPP Cawangan Bukit Assek, Kaunselor Phuang Ton Hing, Bendahari SUPP Cawangan Bukit Assek, Kaunselor Raymond Tiong Eng Lee dan Naib Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek, Kapitan Phuang Leong Hua. -EDISI UKAS

add comment