Lawatan Kerja Pesuruhjaya Polis Sarawak Ke Lubok Antu

SABTU, 14 MEI 2022

SRI AMAN: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu pada Jumaat.

Turut menyertai beliau Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata; Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak, Gilbert Philip Layang dan Tuai Rumah Bara Lubok Antu, Ngilah Ela.

Menerusi lawatan tersebut, beliau berkesempatan memeriksa Guard Turn Off (GTO) di samping berkenalan sambil beramah mesra bersama ketua-ketua bahagian, cawangan dan ketua balai di IPD tersebut.

Selepas itu, beliau bersama rombongan bergerak ke lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) OP Benteng dengan menyerahkan sumbangan kuih raya kepada anggota yang bertugas.

Sumbangan kuih raya juga diserahkan di lokasi seterusnya iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu kepada pegawai dan anggota ICQS, Batalion ke-10 PGA Sibu termasuk RELA Lubok Antu.

Sejurus selepas itu, beliau dan rombongan melawat KOMTEK PGA Batu Kaya sebelum meluangkan masa minum petang di Rumah Panjang Ngilah Ela bersama pesara-pesara PDRM Daerah Lubok Antu.

Dalam masa sama, rumah panjang tersebut dijadikan lokasi untuk sesi penyerahan hamper kepada para pesara bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka semasa berkhidmat dengan PDRM. -EDISI UKAS

add comment