Safari Rakit Baleh Kapit Kembali Diadakan

SABTU, 14 MEI 2022

KAPIT: Acara tahunan, Safari Rakit Baleh Kapit 2022 kembali dianjurkan pada tahun ini setelah tertangguh hampir dua tahun ekoran penularan wabak Covid-19.

Edisi kali ini dianjurkan pada 14 Mei ini (Sabtu) dengan Rumah Rantai, Nanga Semuntek, Sungai Baleh, Kapit menjadi lokasi utama perlumbaan.

Majlis perasmian pertandingan memasuki edisi ke-25 itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pelagus, Wilson Nyabong Ijang pada Jumaat dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Dalam ucapannya, Dato Sri Alexander berkata selain dari tarikan pelancongan, program itu juga menjadi medium untuk mengeratkan perhubungan antara kerajaan dan rakyat.

Katanya, Safari Rakit yang merupakan cetusan idea mendiang Tan Sri James Masing perlu diteruskan dan dimantapkan sebagai menghargai jasa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh itu.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan melalui penganjuran program itu juga, permasalahan rakyat dapat didengar serta cuba diatasi oleh pihak berwajib lebih-lebih lagi aspek pembangunan.

Sementara itu, Wilson ketika berucap berharap acara yang telah dimasukkan dalam kalendar perlancongan Sarawak itu dapat dianjurkan dengan lebih meriah dan berskala besar di masa akan datang.

Ujarnya, ia bagi menarik dan merancakkan sektor pelancongan negeri ini agar dapat menambah hasil dan menggerakkan ekonomi rakyat Sarawak dan negara amnya.

Tambah Wilson lagi, kestabilan Kerajaan Sarawak membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Turut hadir Residen Bahagian Kapit Nyurak Keti, Tuan Rumah Program Tuai Rumah Rantai Sedin, Pegawai-Pegawai Daerah serta Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan. Edisi kali ini sedikit berlainan apabila pertandingan kayak juga turut dipertandingkan. – EDISI UKAS

add comment