Lakin Belaga Rangkul Dua Kejuaraan Safari Rakit Baleh-Kapit 2022

AHAD, 15 MEI 2022

KAPIT: Pasukan Lakin Belaga membuktikan kehebatan apabila merangkul dua gelaran pada perlumbaan Safari Rakit Baleh-Kapit 2022 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu.

Mereka muncul juara dalam perlumbaan Rakit Buluh Terbuka bagi kategori Lelaki untuk membawa pulang piala dan wang tunai RM6,000 dan perlumbaan Perahu Kayuh Terbuka sekali gus meraih piala dan wang tunai RM4,000.

Biro Wanita Rumah Ukau pula memenangi kategori Rakit Buluh Terbuka Wanita untuk merangkul piala dan wang tunai RM6,000 manakala kategori Rakit Berhias pula dimenangi SK Nanga Oyan untuk membawa pulang piala dan wang tunai RM2,000.

Pemenang lain adalah Perbadanan Sukan Negeri Sarawak untuk kategori Kayak Terbuka.

Hadiah telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Kapit merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Sri Alexander Nanta Linggi di Terminal Bot Ekspres Kapit, Kapit.

Terdahulu pada sebelah pagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai telah menyempurnakan Majlis Pelepasan Rakit sempena Baleh Raft Safari Rakit 2022 di Rh. Rantai, Ng. Semunti, Kapit.

Manakala pada sebelah malam, Datuk Sri Alexander turut merasmikan Penangguhan Safari Rakit Baleh-Kapit 2022 dan Bazaar Gawai Kapit Tahun 2022 bertempat di Town Square Kapit, Kapit.

Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Residen Bahagian Kapit Nyurak Keti. – EDISI UKAS

add comment