Langkah Intervensi Perlu Dilaksana Segera Tangani Isu Bekalan Air Di Dalat

AHAD, 15 MEI 2022

DALAT: Langkah intervensi perlu diambil segera untuk menangani isu bekalan air di kawasan Dalat.

Ia ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah sambil berkata langkah itu membabitkan penyelesaian jangka pendek dan panjang.

Beliau menjelas demikian semasa mengadakan lawatan susulan ke Stesen Air Mentah Lebrasau dan Kolam Takungan Air Sg Ud Dalat di Kampung Medong Dalat pada Jumaat.

Antara penyelesaian jangka pendek adalah air di kolam takungan Sg Ud mesti diisi sehingga melepasi paras kritikal.

Turut dicadangkan agar Tangki Air Aras Tinggi di Tegup di bawah Projek Rakyat yang sudah siap sebelum Raya perlu diisi air selain mendapatkan sumber air terawat tambahan dari talian paip Mukah-Oya.

Untuk penyelesaian jangka panjang, antara cadangan adalah memindahkan tempat pengambilan air mentah melebihi 100 hingga 150 meter dari atas sungai dari tempat pengambilan air mentah Sungai Lebrasau.

Selain itu, turut dicadangkan penggunaan pontoon sebagai tapak untuk mengelakkan masalah kelodak seperti di lokasi sekarang.

Cadangan lain ialah meningkatkan kapasiti kolam takungan di Sungai Ud dengan melebar dan mendalam kolam tersebut, menyediakan talian paip berasingan untuk penyaluran air dari Mukah-Oya ke Tangki Air Aras Tinggi Tegup serta memulihkan dan mengaktifkan tangki air atas tanah di Oya untuk kegunaan penduduk di situ.

Ekoran gangguan bekalan air, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang giat menyalur air botol ke kampung yang terjejas di mana sebanyak 3600 kotak telah di salurkan ke enam buah kampung iaitu Medong Hilir, Medong Hulu, Medong Seberang, Kekan Seberang, Kampung Seberang dan Tanam Seberang setakat 13 Mei 2022.

Selain itu, sebuah badan bukan kerajaan, 38 Yayasan Pencinta Amal turut menyahut seruan dengan menyumbang sebanyak 6000 kotak air botol yang akan disalurkan ke kawasan stress yang dikenalpasti.

Sementara itu, Dato Sri Fatimah pada Sabtu sempat meluangkan masa merasmikan Kejohanan Tenis Berpasukan Jemputan 4 Penjuru iaitu wakil dari N.56 Dalat, N.57 Tellian, N.58 Balingian dan P.213 Mukah.

Pada program sama, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak turut merasmikan Kejohanan Tertutup Kelab Tenis Hornbill Dalat (HDTC) bagi kategori perseorangan lelaki dan perseorangan tertutup wanita.

Turut disampaikan pada majlis perasmian tersebut adalah cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN untuk aktiviti-aktiviti HDTC. – EDISI UKAS

add comment