AHAD, 15 MEI 2022
BINTANGOR: Setiap pemimpin dan ahli Parti Bumiputera Bersatu (PBB) harus memberikan khidmat mereka sepenuh hati dan penuh tulus ikhlas kerana ia merupakan dasar perjuangan dan penubuhan parti itu di negeri ini.
Demikian ucapan Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan Tri-Tahunan PBB Cawangan Meradong Sesi 2022-2025 pada Sabtu.
Ujarnya, keikhlasan berkidmat untuk parti adalah keutamaan dan bukan bekerja hanya menghadapi pilihan raya semata-mata.
“Dalam parti atas kapasiti apapun kita, keutamaan kita adalah rakyat Sarawak,” tegasnya lagi.
Tambahnya lagi, pemimpin baik harus bersama dikekalkan dan disokong jika terbukti memberikan perkhidmatan sebaik mungkin kepada rakyat.
Beliau turut menyeru kepada jentera parti untuk membantu mendedahkan penipuan ataupun berita palsu yang segaja dibuat bertujuan memburukkan reputasi pemimpin atau kerajaan dan bukan hanya berdiamkan diri sahaja.
Dalam pada itu, Dato Dr. Juanda sempat merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab di atas lantikan beliau sebagai Ketua Cawangan PBB Meradong.
Turut hadir, Setiausaha Politik Di Jabatan Premier Sarawak Faridah Osman, Ketua Wanita PBB Meradong Dayang Rajemah Abang Adeng, Ketua Pemuda PBB Meradong Khairudin Qalam Daud, Penghulu Hashim Abang Solhi, Penghulu Wahab Kiprawi serta ahli Exco PBB Meradong.-EDISI UKAS