Karnival Gawai Dayak Berpotensi Dijadikan Produk Pelancongan

ISNIN, 16 MEI 2022

BETONG: Karnival Gawai Dayak boleh dijadikan produk pelancongan di Sarawak dalam memastikan tradisi sambutan Hari Gawai diteruskan.

Menurut Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, inisiatif itu juga dapat mengetengahkan budaya masyarakat Iban dan memastikan karninval itu dianjurkan secara tahunan.

Katanya, penganjuran aktiviti seumpama itu juga menyerlahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum yang menyumbang kepada kestabilan politik seterusnya merangsang pembangunan di Sarawak.

Berucap semasa merasmikan Karnival Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2022 pada Sabtu, beliau berkata industri pelancongan Betong masih belum diterokai sepenuhnya.

Katanya, kawasan itu mempunyai destinasi pelancongan semula jadi yang perlu dipromosikan seperti Bukit Sadok yang menjadi kubu Pahlawan Iban iaitu Panglima Rentap semasa menentang penjajahan Brooke.

Karnival diadakan dari 14 hingga 15 Mei itu padat dengan pelbagai aktiviti seperti pameran oleh agensi kerajaan, pertandingan karaoke, kempen derma darah, pertandingan memasak, acara tarik tali dan sebagainya.

Manakala aktiviti jualan di Bazar Gawai berlangsung dari 14 sehingga 28 Mei 2022 dengan jualan pelbagai produk kraftangan, makanan dan pelbagai lagi yang disertai seramai 32 peniaga tempatan.

Sementara itu, Datuk Robert Lawson menjelaskan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 lalu menunjukkan rakyat Sarawak memahami dan memberi kepercayaan kepada perjuangan parti itu yang diterajui oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan dibantu oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ujarnya, kestabilan dan kesinambungan politik di Sarawak membawa pembangunan yang pesat di Betong namun masih banyak agenda pembangunan yang perlu dicapai dan dilaksanakan di kawasan itu.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Makan Malam Mantar Gawai 2022 anjuran Gerempung Tuai Rumah (GTR) Daerah Kecil Spaoh pada sebelah malam.

Dalam perkembangan lain, Datuk Robert Lawson berharap GTR Daerah Kecil Spaoh dapat memainkan peranan mengenal pasti produk di kawasan masing-masing yang berpotensi untuk dipasarkan ke pasaran luar.

Jelasnya, ia penting untuk memenuhi objektif kerajaan dan permintaan produk untuk pasaran luar negara selain memastikan kewujudkan Lapangan Terbang Spaoh yang sedang dalam pembinaan dimanfaatkan sebaiknya untuk meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Antara pengisian program adalah persembahan kebudayaan, hiburan, cabutan tiket bertuah, penyampaian insentif pelajar cemerlang dan penyampaian sijil penghargaan kepada beberapa orang tuai rumah yang tidak lagi berkhidmat.

Kemuncak majlis adalah acara Pekit Keling dan Pekit Kumang anjuran Jawatankuasa Pekit Keling & Kumang Gawai 2022 N.37 Bukit Saban yang menyaksikan seramai tiga jejaka menyertai Pekit Keling dan tujuh wanita menyertai Pekit Kumang. – EDISI UKAS

add comment