Pejabat Daerah Pusa Baharu Akan Dibina Tahun Ini

ISNIN, 16 MEI 2022

PUSA: Daerah Pusa bakal memiliki pejabat baharu yang akan dibina pada tahun ini.

Mendedahkan perkara itu Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim sambil berkata kerja-kerja pembinaan pejabat itu akan dimulakan kontraktor tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Adilfitri, Parlimen Batang Lupar, DUN Beting Maro di Dataran Tandang Sari, Pusa pada Sabtu.

Katanya lagi, sambutan Hari Raya kali ini sangat istimewa di mana ia diraikan dengan penuh bermakna bersama keluarga setelah dua tahun disambut dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Beliau dalam pada itu menegaskan, walaupun negara dalam peralihan fasa endemik namun keselamatan serta kesihatan diri haruslah dikekalkan.

Selain itu, beliau turut menyarankan kepada penduduk agar segera mendapatkan vaksinasi di klinik atau pusat pemberian vaksin berdekatan kerana ia terbukti berkesan dalam mengekang penularan jangkitan wabak COVID-19.

Pada sebelah petang, Dato Sri Rohani menyantuni penduduk di Rumah Panjang Merenggang, Muton dengan menyumbang sebanyak 50 bakul makanan kepada 10 buah rumah panjang di kawasan Beting Maro bagi meringankan beban keluarga yang memerlukan menjelang sambutan Hari Gawai kelak.-EDISI UKAS

add comment