Kerajaan Sarawak Salur Dana Mudahcara Warisan RM10 Juta Kepada MTCP

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) menerima suntikan Dana Mudahcara Warisan berjumlah RM10 juta daripada kerajaan Sarawak.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama Majlis Seni Sarawak (MSS) dan Sahabat Seni Sarawak (3S) di Dewan Suarah Kuching pada Ahad.

“Kita ada mengumumkan untuk pertama kalinya, sejumlah peruntukan yang boleh diagihkan kepada penggiat pengkarya seni ini. Jumlahnya adalah sebanyak RM10 juta yang diberi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Dan harapan saya agar dapat disalurkan kepada mereka yang amat berminat kepada seni untuk meningkat keupayaan kita, dan seliaan daripada itu untuk meningkatkan lagi kesenian yang terdapat dalam diri kita.

“Sama ada mereka yang terlibat dalam tarian, tulisan ataupun cerpen, tarian, nyanyian, videografi dan sebagainya. Kita akan usaha untuk bantu keluarga seni ataupun mereka yang minat dalam karya seni ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan Sarawak telah meluluskan pusat penggiat seni di Dewan Undangan Negeri Sarawak yang lama dan akan dinaiktaraf sebagai sebuah ‘performing art centre’.

“Dewan Undangan Negeri yang lama di Petra Jaya tidak lama lagi akan dimulakan ubah suai untuk menjadikannnya sebagai sebuah ‘performing art centre’ yang telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan akan bermula pusat untuk penggiat seni di masa akan datang,” kata beliau.

Dalam majlis tersebut turut dimeriahkan dengan ulang tahun Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang ke 62 tahun.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan dan tetamu yang lain.-END

add comment