UNIFOR Bantu Semua Agama Selain Agama Islam Di Sarawak

ISNIN, 16 MEI 2022

MIRI: Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) merupakan satu manifestasi Kerajaan Sarawak dalam membantu semua agama selain agama Islam di negeri ini. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin, UNIFOR ditubuhkan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menjaga kepentingan dan kebajikan agama lain di Sarawak.

“Melalui UNIFOR, Kerajaan Sarawak telah menetapkan bajet khas untuk membantu agama lain-lain seperti dalam pembinaan rumah ibadat mereka dan pembaikan mahupun menaiktaraf kemudahan.

“Sarawak juga dikenali sebagai negeri contoh di negara ini dari segi keharmonian agama dan perpaduan rakyat,” katanya.

Teks ucapan beliau telah dibacakan Ahli Majlis Bandaraya Miri (MBM) Jeffrey Phang Siaw Foong dalam Sambutan Perayaan Hari Wesak di Pertumbuhan Ugama Buddha Miri pada Ahad. 

Beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 kepada Pertumbuhan Ugama Buddha Miri untuk aktiviti kelas pendidikan Budhha. 

Pada majlis itu, telah diadakan penyampaian peruntukan Pertubuhan Ugama Buddha Miri kepada 6 badan kebajikan iaitu Miri Red Cresent Dialysis Center, Sarawak Children Cancer Society, Palliative Care, Miri Tzu Chi, PDK Batu Niah dan Miri Life Care Society. -EDISI UKAS

add comment