Sukma FC Sebangan Juarai Pertandingan Bola Sepak Piala YB Datuk Haji Julaihi Narawi

SELASA, 17 MEI 2022

SEBUYAU: Pasukan Sukma FC Sebangan telah dinobatkan sebagai johan kategori senior bagi Pertandingan Bola Sepak Piala YB Datuk Haji Julaihi Narawi.

Ini susulan kejayaan pasukan tersebut menewaskan Pusa Monkey Free Tabuan dengan menjaringkan dua gol tanpa balas pada separuh masa kedua di Padang Bola Sepak Sebangan pada Ahad.  

Sehubungan itu, Sukma FC Sebangan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,500 manakala Pusa Monkey Free Tabuan mendapat RM1,500 selaku naib juara.

Kedua-dua pasukan juga masing-masing mendapat piala serta satu set baju jersi.

Sebanyak 62 pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang bermula sejak hari ketiga Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

Perasmian majlis penutupan telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi.

Pengurus Sukma FC Sebangan, Ideris Ukaiki ketika ditemui media menzahirkan perasaan syukur atas kemenangan tersebut.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Julaihi atas penganjuran pertandingan pada tahun ini.

Antara yang turut hadir pada majlis penutupan pertandingan itu ialah Pegawai Daerah Sebuyau, Jerry Zainnuddin Bidin serta Ketua Masyarakat Kampung Menek, Semawi Bujang. -Edisi UKAS

add comment