Terap Gaya Hidup Sihat Kepada Pelajar Untuk Perangi Dadah

SELASA, 17 MEI 2022

PUSA: Sekolah-sekolah khususnya di kawasan Pusa disaran agar merangka pelbagai aktiviti yang menerapkan gaya hidup sihat kepada pelajar sebagai usaha memerangi penyalahgunaan dadah.

Wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong, Ismail Mohamad berkata golongan belia merupakan aset penting yang akan menerajui kepimpinan negeri ini di masa akan datang.

Katanya, Kerajaan memandang serius ancaman dadah dan menyeru semua pihak agar terlibat sama dalam memerangi najis itu demi kelangsungan generasi yang akan datang.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2022 Peringkat Zon Pusa di Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin, Pusa pada Selasa.

Program bertemakan ‘Lebih Baik Cegah’ itu anjuran bersama SK Beladin, Pejabat Daerah Betong dan One Stop Committee (OSC) Pejabat Daerah Pusa.

Menjelas lanjut, Ismail berkata ancaman dadah semakin membimbangkan hari ini di mana ia tersebar luas dalam lapisan masyarakat terutama pelajar sekolah.

Justeru tegasnya, komitmen semua pihak terutama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), agensi kerajaan, ketua masyarakat, pihak sekolah dan ibu bapa ditagih dalam memerangi penyalahgunaan dadah.

Terdahulu, Guru Besar SK Beladin Hamizol Sapong mengucapkan terima kasih kepada pihak PPD Betong kerana memilih sekolah itu sebagai venue penganjuran program itu kali ini. –EDISI UKAS

add comment