117,194 Hektar Kawasan DUN Meluan Dilulus Untuk Diukur Perimeter Tanah NCR

RABU, 18 MEI 2022

KUCHING: Sebanyak 13 kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan dengan keluasan 117,194 hektar atau 289,586 ekar telah diluluskan untuk diukur perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Len Talif Salleh, daripada jumlah tersebut, 10 kawasan berkeluasan 107,303 hektar atau 265,145 ekar telah siap diukur.

Manakala satu kawasan berkeluasan 524 hektar atau 1,295 ekar akan diukur dalam masa terdekat dan dua lagi kawasan berkeluasan 9,367 hektar atau 23,146 ekar belum dapat diukur kerana terlibat dengan bantahan di lapangan.

“Sebanyak sembilan kawasan berkeluasan 56,726 hektar atau 140,170 ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Daripada jumlah itu, dua kawasan berkeluasan 22,087 hektar atau 54,577 ekar telah diluluskan untuk diukur secara lot individu,” katanya menjawab soalan ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin pada hari kedua Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Menjawab lanjut, Datu Len berkata satu kawasan telah siap diukur menghasilkan sebanyak 825 lot yang berkeluasan 1,450 hektar atau 3,583.

Manakala satu lagi kawasan berkeluasan 20,637 hektar atau 50,994 akan diukur tertakluk kepada kesediaan penuntut tanah di lapangan.

Katanya, bagi kawasan tanah hak adat bumiputera yang sahih dan belum dipohon, maka para penuntut adalah dinasihatkan untuk mengemukakan permohonan secara bertulis ke Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sarikei.

Menjawab soalan tambahan, Datu Len yang juga AUDN Kuala Rajang berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8,177,100 untuk tujuan pengukuran tanah NCR inisiatif baru.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.29 juta peruntukan telah disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk pelaksanaan program pada pertengahan pertama tahun ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata peringkat awal pelaksanaan program pengukuran Tanah NCR inisiatif baru dari tahun 2011 hingga 2015 tertumpu kepada pengukuran secara perimeter tanah NCR dan seterusnya mewartakan kawasan berkenaan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Manakala pengukuran lot individu bagi kawasan yang telah diwartakan tersebut telah dirancang untuk dilaksanakan bermula dari tahun 2016 di samping kerja pengukuran perimeter juga masih diteruskan.

“Pada masa ini, sasaran keluasan pengukuran lot individu dipertingkatkan dari masa ke semasa,” tambah beliau lagi. – EDISI UKAS

add comment