RABU, 18 MEI 2022
KUCHING: Seramai 1,479 Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI) di bawah sektor perladangan telah berdaftar dibawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato’ Gerawat Gala berkata, ini merupakan antara langkah kerajaan untuk menangani pekerja tanpa permit yang bekerja di ladang-ladang sawit di negeri ini.
“ Program Rekalibrasi Tenaga Kerja meregularisasi PATI sedia ada sebagai pekerja asing yang sah untuk digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.
“Di bawah program ini, seramai 1,479 PATI telah didaftarkan di bawah sektor perladangan dan ini merupakan sektor utama yang terlibat dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja,”katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dalam persidangan hari kedua Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dato’ Gerawat menambah, kerajaan juga mengambil langkah dengan melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang yang telah menghantar balik seramai 635 PATI ke negara asal mereka.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kerajaan juga telah menjalankan Pengoperasian Operasi Benteng (Op Benteng) dan semenjak iamula dilaksanakan pada 22 Mei 2020 di Sarawak, seramai 95 PATI telah ditahan dan 415 PATI diusir.
Sementara itu, ujar beliau, Jabatan Imigresen juga membuat operasi mengejut di tapak pembinaan kilang dan ladang-ladang untuk memeriksa samada pekerja asing mempunyai dokumen yang sah atau tidak.
“Sebanyak 232 operasi telah dijalankan di Sarawak dari Januari hingga April 2022 dengan tangkapan PATI seramai 1,047 orang dan seramai 17 majikan telah didakwa,” jelas beliau lagi.
Dato’ Gerawat juga memberitahu, pihak Jabatan Tenaga Kerja Sarawak sentiasa melaksanakan pemeriksaan ladang-ladang secara berkala dan berterusan dan menjalankan operasi berfokus melalui Program Outreach ke ladang-ladang di kawasan pedalaman.
“Sejumlah 712 buah ladang telah diperiksa sepanjang tahun 2021 manakala dari Januari sehingga April 2022 pula, sejumlah 567 ladang telah diperiksa di setiap pelosok negeri ini,”kata beliau lagi.-EDISI UKAS