RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 Diluluskan

RABU, 18 MEI 2022

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022.

Ini susulan daripada undian suara majoriti yang dilakukan selepas bacaan kali ketiga RUU tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika menyimpulkan pembentangan RUU itu sebelum bacaan kali ketiga memberitahu, ia bertujuan membolehkan Sarawak meneroka potensi pendapatan baharu menerusi pengawal seliaan penggunaan spektrum di udara serta tanah untuk penyimpanan karbon.

“Pindaan ini dibuat selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 di mana terdapat keperluan untuk menekankan pembangunan ekonomi mampan melalui penggunaan teknologi dan inovasi baharu serta pelaksanaan strategi yang mampu melestarikan alam,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, ujarnya, RUU itu penting bagi memastikan pematuhan kepada amalan-amalan baharu untuk mempromosikan pembangunan ekonomi mampan serta meneroka sumber pendapatan lain untuk Sarawak.

Terdahulu, bacaan kali pertama dan kedua bagi pindaan tersebut telah dilakukan pada hari yang sama. -Edisi UKAS

add comment