145 Penerima Dikurniakan Pingat Dan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak

KUCHING: Seramai 145 orang penerima dikurniakan Pingat dan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bertempat di Dewan Besar Astana Negeri Sarawak di sini pada Khamis.

Istiadat dimulakan dengan pengurniaan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) kepada lapan penerima didahului oleh Penolong Kanan Komisioner Penjara, Fathi Mursidi.

Istiadat kemudiannya diteruskan dengan Pengurniaan Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) kepada seramai 16 orang penerima antaranya ialah Pensyarah Fakulti Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Dr. Bromeley Philip dan Superintenden Nur Asyikin Abdullah.

Sementara itu, 34 orang menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) yang antaranya termasuk Kaunselor Daniel Taha.

Turut dianugerahkan ialah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) kepada 18 penerima manakala Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) dikurniakan kepada 36 penerima.

Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat disudahi dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) kepada 33 penerima.

Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.-Edisi UKAS

add comment