KHAMIS, 19 MEI 2022
KUCHING: Kerajaan Persekutuan telah membuat pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang telah berkuatkuasa mulai 12 Februari 2022, demikian jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohamad Chee Kadir dalam Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
“Pindaan ini telah mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat pada 1976 yang mana pindaan pada 1976 tersebut telah meletakkan negeri Sarawak sebagai salah satu negeri dengan negeri-negeri yang lain,” katanya.
Ujar beliau lagi, Kerajaan Sarawak akan dari semasa ke semasa mengkaji keperluan untuk membuat sebarang pindaan yang difikirkan perlu bagi memastikan kepentingan Sarawak dijaga.
Dalam pada itu, Datuk Sharifah Hasidah turut memaklumkan langkah-langkah yang telah diambil Kerajaan Sarawak berkenaan hak-hak dan tuntutan-tuntutan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi soalan tambahan.
“Seperti semua sedia maklum pada 15 Februari 2022 Kerajaan Sarawak telah membuat pindaan Perlembagaan Negeri Sarawak yang antara lain telah memasukkan definisi Persekutuan untuk mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963 selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa 11 Februari 2022.
“Kedua, pindaan kepada gelaran Ketua Menteri kepada Premier di dalam Perlembagaan Negeri Sarawak tersebut juga telah menaikkan status Sarawak yang secara langsung meletakkan Sarawak di kedudukan yang berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia sebagai satu wilayah atau ‘region’,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama Kerajaan Sarawak juga bercadang menggesa Kerajaan Persekutuan menambah bilangan keahlian wakil rakyat Sarawak di Parlimen dengan mengambil kira kedudukan semasa pembentukan Malaysia.
Perkara ini telah dikemukakan Kerajaan Persekutuan menerusi Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakub.
Mengenai masa yang diambil untuk mendapatkan kembali hak Sarawak seperti yang terkandung dalam MA63, Datuk Sharifah Hasidah memberitahu Kerajaan Sarawak menyasarkan dapat menyelesaikan semua tuntutan dalam masa singkat, namun ia tertakluk juga kepada keadaan semasa.
“Kita sebenarnya menyasarkan menyelesaikan semua tuntutan kita dalam tempoh yang secepat mungkin.
“Walau bagaimanapun, terdapat tuntutan-tuntutan yang memerlukan pindaan kepada Perlembagaan dan pindaan kepada undang-undang. Ini semestinya akan mengambil masa yang agak panjang untuk diselesaikan.
“Bukannya mudah untuk kita membuat pindaan undang-undang. Bagi tuntutan yang melibatkan pentadbiran, tuntutan itu telah pun diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Tegas beliau lagi, Kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan usaha untuk terus mengembalikan hak-hak dan tuntutan-tuntutan akan terus diperjuangkan walaupun mengambil masa yang lama.-EDISI UKAS