Mangsa Kebakaran Rumah Di Kampung Tanjung Engkabang Hilir Terima Sumbangan

KHAMIS, 19 MEI 2022

SRI AMAN: Mangsa kebakaran rumah di Kampung Tanjung Engkabang Hilir di sini telah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak pada Khamis.

Sumbangan berupa keperluan seperti talam, bantal, tikar, air minuman serta keperluan makanan lain diberi sebagai bantuan awal untuk meringankan beban keluarga mangsa terbabit.

Pegawai Daerah Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee hadir bagi menyampaikan sumbangan tersebut kepada wakil mangsa sekitar jam 9 pagi.

Difahamkan, rumah yang dimiliki Ketua Masyarakat Daerah Sri Aman, Pemanca Mas Shamsiah Maslem di Kampung Tanjung Engkabang Hilir itu telah musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 7.15 pagi pada hari sama.

Berdasarkan maklumat yang diterima, kebakaran mula berlaku dari bahagian dapur, namun, punca sebenar masih belum dikenalpasti.

Ketika kejadian berlaku, mangsa bersama dua orang cucu sempat menyelamatkan diri dengan bergegas ke rumah adik mangsa yang terletak di belakang rumah setelah kebakaran gagal dikawal.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat kini. -Edisi UKAS

add comment