KHAMIS, 19 MEI 2022
KUCHING: Sarawak boleh mendapat manfaat yang amat besar selain mewujudkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi dengan industri baru yang wujud dan bakal berkembang dengan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Hutan (Pindaan) 2022.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, pembentangan RUU Hutan (Pindaan) 2022 oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan adalah sangat tepat pada masanya.
Jelasnya, Sarawak dengan keluasan hutan seluas 7.91 juta hektar adalah kapasiti yang mencukupi untuk menyimpan stok karbon yang memberikan Sarawak beberapa kelebihan.
“Pertama adalah menjadikan stok karbon sebagai salah satu hasil hutan kita, kedua untuk mewujudkan Hutan Lipur dan Hutan Kekal dan ketiga adalah memberi kuasa kepada kerajaan untuk meluluskan semua aktiviti yang berkaitan dengan stok karbon dan perdagangan.
“Yang terakhir adalah untuk memperkenalkan Lesen Karbon Hutan dimana ianya sangat tepat untuk dilaksanakan dan tepat pada masanya serta harus disokong oleh semua ahli dewan yang mulia ini,” katanya ketika membahaskan RUU Hutan (Pindaan) 2022 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Dalam pada itu, Dr Simon turut mengucapkan tahniah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang berpandangan jauh dalam membangunkan ekonomi baharu ini.
Katanya, ia adalah selaras dengan ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam meneroka idea-idea baru untuk membangun dan menjana pendapatan tanpa memusnahkan sumber asli Sarawak yang kaya dan luas.-EDISI UKAS