KHAMIS, 19 MEI 2022
KUCHING: Kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan Indonesia bagi menormalisasikan perdagangan rentas sempadan di kawasan Tebedu-Entikong.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata, ia susulan aktiviti perdagangan rentas sempadan Tebedu-Entikong yang sangat terhad selepas sekatan daripada pihak Indonesia sejak 2014.
Jelas beliau, ini sekaligus mengundang kekurangan sambutan daripada pelabur terhadap Estet Perindustrian Tebedu.
“Kerajaan Malaysia juga telah pun mencadangkan kepada kerajaan Indonesia supaya membangunkan kawasan sempadan termasuk kawasan Tebedu-Entinkong, jika dapat dilaksanakan, ia akan menjadi sebuah pusat pembangunan perdagangan dan aktiviti perindustrian termasuk perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Khamis.
Ujar beliau lagi, kerajaan Sarawak juga telah memenuhi permintaan kerajaan Indonesia untuk melebarkan jalan masuk sempadan dan membina semula pintu pagar dengan kos sebanyak RM2 juta bagi melancarkan pergerakan kenderaan kargo di sempadan.
“Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi menaik taraf CIQS Tebedu,” jelasnya.
Menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, Datuk Malcolm memberitahu, kementeriannya telah menerima satu permohonan pelabur bagi Estet Perindustrian Tebedu dalam industri berasaskan kayu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM22.3 juta dan dijangka menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. -EDISI UKAS