JUMAAT, 20 MEI 2022
KUCHING: Multimedia Technology Enhancement Operations (METEOR) Sdn Bhd, syarikat pegangan bagi Open University Malaysia (OUM) telah menganjurkan Ramah Tamah Aidilfitri di Hotel Hilton di sini pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan METEOR, Muhammad Afiq Redzuan berkata, majlis ini dianjurkan sebagai tanda terima kasih kepada semua kakitangan yang sentiasa menyokong Kumpulan METEOR dan OUM.
“Kerjasama itu adalah dari segi untuk memperkasakan anak-anak sarawak dari segi pendidikan dan menyediakan akses pada pendidikan berteraskan ‘The Higher Learning’.
“Hal ini kerana kita mengamalkan konsep Online Distance Learning (ODL) yang membolehkan para penuntut belajar secara maya dan tidak perlu hadir ke kelas dan ini juga merupakan kaedah yang paling sesuai dengan keadaan yang ada di negeri Sarawak disamping menambah siswa-siswi untuk memiliki sijil-sijil bertaraf Diploma, Ijazah, Master mahupun di peringkat PhD,” kata beliau semasa berucap pada sidang media.
Dalam pada itu, dengan tema Raya Kembali, Presiden/Naib Canselor OUM, Prof Madya Dr Ahmad Izanee Awang berkata, kakitangan dari Pusat Pembelajaran (PP) Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu sentiasa berganding bahu untuk memantapkan lagi budaya kerja yang kondusif.
“Majlis sosial seperti ini penting bagi memupuk semangat kerja berpasukan dan hubungan kekeluargaan antara kakitangan dan ini secara tidak langsung ia akan mewujudkan persekitaran dan budaya kerja yang positif,” ujar beliau.
Justeru, tema ini dipilih sejak negara dilanda pandemik COVID-19 namun Kumpulan METEOR tidak berpeluang untuk menganjurkan apa-apa majlis bagi mematuhi prosedur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun kemeriahan Hari Raya pada tahun ini dapat dikembalikan setelah negara memasuki fasa endemik. – EDISI UKAS