JUMAAT, 20 MEI 2022
KUCHING : Kerajaan digesa untuk menggalakkan lebih banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) membina pusat dialisis swasta bagi menampung kekurangan kemudahan kerajaan untuk merawat pesakit itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, baru-baru ini beliau telah membantu dua orang doktor muda menubuhkan pusat dialisis di Jalan Batu Kawah yang menjaga lebih 60 pesakit.
“Dari pemerhatian saya, NGO itu menjaga 60 pesakit dengan berkesan tetapi kami masih kekurangan mesin dialisis yang sangat diperlukan ketika ini.
“Malah, terdapat ratusan pesakit di kawasan Padawan masih dalam senarai menunggu.
“Saya ingin menggalakkan kerajaan GPS kita untuk menggalakkan lebih banyak lagi NGO dan pusat dialisis swasta untuk ditubuhkan bagi mengurangkan kekurangan kemudahan kerajaan untuk merawat pesakit dialisis,” katanya semasa perbahasan usul penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Tambah beliau lagi, sektor swasta boleh menjalankan pusat-pusat dialisis ini dengan berkesan dengan sokongan kerajaan GPS dalam memberi subsidi kos dialisis kepada pesakit yang layak.
“Dengan sumber daripada kerajaan negeri kita, kita boleh melakukan keajaiban untuk memberi rawatan dan kemudahan perubatan yang terbaik kepada rakyat Sarawak sama seperti jiran kita, Singapura.”-EDISI UKAS