JUMAAT, 20 MEI 2022
SERIAN: Program Ziarah UKAS @Komuniti bertemakan Ngabang Gawai anjuran Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) Bahagian Serian dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan (JKK) Kampung Belimbing A telah diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Belimbing B pada Jumaat.
Program yang bertemakan Ngabang Gawai (Pra-Gawai) berbentuk ‘touch Point’ yakni telah memberi sumbangan kepada 16 orang penerima terdiri daripada Orang kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, balu dan warga emas yang telah dikenalpasti.
Sumbangan tersebut adalah bagi meringankan bebab para penerima sempena Perayaan Gawai 2022 kelak.
Timbalan Pengerusi Cawangan PBB DUN N.23 Bukit Semuja, Franchis Linjas yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus telah menyampaikan sumbangan kotak Ngabang Gawai kepada penerima.
Beliau turut menyampaikan kotak Ngabang Gawai kepada tetamu serta hadirin yang hadir.
Dalam ucapan ringkas, Franchis Linjas mengucapkan syabas dan tahniah kepada UKAS dan JKK Kampung Belimbing B kerana berjaya menganjurkan program berbentuk ‘touch point’
Katanya, ia merupakan salah satu program yang memberi impak positif kepada penerima bagi membantu meringankan beban selain menceriakan penerima bantuan yang menyambut perayaan Gawai.
“UKAS memainkan peranan penting dalam menyebar dan menyalurkan informasi sahih kepada masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.
“Meskipun program berskala kecil, namun a memberi impak yang bermakna kepada penerima sumbangan yang menyambut perayaan Gawai kelak,” katanya.
Turut hadir, Bendahari Cawangan PBB N.23 Bukit Semuja, George Manggu, Pegawai UKAS Bahagian Serian, Maria Acher, Ketua Kaum Melin Sunang serta jemputan lain. -EDISI UKAS