JUMAAT, 20 MEI 2022
KUCHING: Semua anjing di Sarawak mesti divaksinasi di bawah Perintah Vaksinasi Anti-rabies.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, mana-mana pemilik atau penjaga anjing yang gagal mematuhi perintah itu bakal dikenakan penalti, denda tidak melebihi RM2,500.
“Sebagai peringatan, pemilik atau penjaga anjing yang gagal untuk mematuhi Perintah Pemvaksinan Anti-Rabies tanpa sebab yang munasabah adalah dikira melakukan kesalahan.
“Penalti, denda tidak melebihi RM2,500 di bawah Seksyen 40, Ordinan Veterinar Kesihatan Awam (VPHO), 1999,” katanya menerusi satu kenyataan media, pada Jumaat.
Dato Sri Dr Stephen menambah, anjing yang tidak mempunyai bukti vaksinasi boleh dimusnahkan di bawah seksyen ini.
Justeru itu, beliau memaklumkan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) bakal mengadakan program vaksinasi besar-besaran, permohonan lesen dan mikrocip di SJK Chung Hua Batu Kawa, Kuching dan Balai Raya Sebauh, Bintulu.
Semua pemilik anjing digesa membawa anjing mereka semasa program itu untuk mendapatkan vaksin rabies percuma dan memohon lesen anjing daripada kaunter pihak berkuasa tempatan. -EDISI UKAS