100 Penerima bantuan JKM Bahagian Betong Terima Sumbangan Dalam Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2022

SABTU, 21 MEI 2022

SPAOH: Seramai 100 individu di Bahagian Betong yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat sumbangan bersempena dengan Hari Gawai yang bakal tiba.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan penyerahan sumbangan tersebut dalam Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2022 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh pada Sabtu.

Semasa berucap, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, pihak pegawai JKM perlu menjelaskan kepada rakyat di kawasan luar bandar mengenai bantuan kebajikan yang disediakan oleh mereka.

“Masih ramai penduduk rumah panjang, kampung dan penempatan, terutama di kawasan luar bandar, tidak mengetahui tentang mereka,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam memberitahu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM2.7 juta untuk menyediakan bantuan Gawai kepada 25,891 orang di seluruh negeri.

Beliau berkata ini termasuk 2,102 daripada Bahagian Betong di mana kerajaan telah memperuntukkan RM210,200 untuk tujuan itu.

Mengenai bantuan bulanan pula, Mohammad Razi berkata, dari Januari hingga April tahun ini, JKM telah membelanjakan sejumlah RM81 juta untuk membantu 51,495 penerima di seluruh Sarawak.

Bagi Bahagian Betong katanya, seramai 4,191 individu telah menerima RM6.6 juta.

Turut hadir dalam program berkenaan adalah ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Dr Richard Rapu.-EDISI UKAS

add comment