Pembinaan Laluan Berkembar Dicadang Dari Jalan Wong King Huo ke Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu

SABTU, 21 MEI 2022

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek mencadangkan pembinaan laluan berkembar baharu dari Jalan Wong King Huo ke Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu.

Menurutnya, ia merupakan pelan trafik yang amat komprehensif untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas di Sibu.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, menurut Chieng Jin Ek, penduduk Sibu juga masih menantikan dua rancangan tebatan banjir bernilai RM25 juta meliputi kawasan Bukit Assek dan Sentosa yang difahamkan masih dalam peringkat awal dan reka bentuk.

Sehubungan itu, beliau menyeru agensi yang berkaitan dapat menyegerakan proses berkenaan supaya pembinaan dapat dijalankan segera. -EDISI UKAS

add comment