ADUN Daro Sumbang RM64,000 Kepada 10 JKKK Kampung dan Rumah Panjang Sekitar Daro

AHAD, 22 MEI 2022

DARO : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM64,000 kepada 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung dan rumah panjang di sekitar Daro.

Antara penerima sumbangan tersebut ialah JKKK Kampung Penasu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Penasu, Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Kampung Penasu dan juga tujuh buah JKKK bagi Rumah Panjang di sekitar Daro.

“Satu Projek Rakyat yang mana melibatkan Pembinaan Sekolah Baru SK Penasu dengan peruntukan sebanyak RM41juta juga sedang dalam pelaksanaan di mana proses tender telah dikeluarkan.

“Projek ini adalah inisiatif Kerajaan Sarawak dan ini adalah merupakan satu sekolah rendah yang serba lengkap dikawasan luar bandar,” katanya semasa berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Pra Gawai di Dewan Masyarakat Kampung Penasu, Daro pada Sabtu.

Jelas beliau, sekolah ini serba lengkap dengan bilik kelas, bilik makmal, sebuah bangunan pra sekolah dan juga dua buah flat untuk kegunaan guru.

Sementara itu, pada sebelah malam Safiee Ahmad turut menyampaikan cek sumbangan kepada 19 buah tabika dan juga taska kawasan DUN Daro berjumlah keseluruhan RM95,000 sekaligus menghadiri Ramah Tamah Aidilfitri serta Hari Pendidik KEMAS.

Katanya, pada setiap tahun beliau menyampaikan sumbangan ini bagi tujuan membantu mereka dalam proses pembelajaran anak-anak dan untuk mengadakan aktiviti tahunan.

Beliau turut berharap para guru Kemas mempunyai cara dan idea baru bagi meningkatkan kecemerlangan anak-anak bagi permulaan pembelajaran mereka di peringkat awal.-EDISI UKAS

add comment