Kemenangan Besar GPS Signal Rakyat Mahu Wakil Rakyat Dipilih Bekerja Dengan Lebih Gigih

AHAD, 22 MEI 2022

BINTANGOR: Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 dari 82 kerusi dipertandingan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang lepas bukan sekadar tanda kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan parti itu.

Menurut Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, UKAS Dan Penerangan merangkap ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol, mandat besar itu juga satu pesanan kuat dari rakyat Sarawak supaya wakil rakyat yang dipilih bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh.

Katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah berpesan kepada semua wakil rakyat untuk lebih proaktif dan bekerja keras kerana keadaan negeri selepas serangan pandemik memerlukan pemulihan ekonomi yang cepat supaya kerajaan dapat meneruskan pelan pembangunan yang cepat lebih-lebih lagi di luar bandar.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 yang dihadiri kira-kira 1,000 masyarakat dari 10 kampung Melayu di Dewan Perdana SK Abang Amin Bintangor pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab menghargai sokongan masyarakat Bintangor dalam PRN12 yang lepas dan memohon mereka agar terus bersatu supaya usaha membangun negeri dapat diteruskan dengan lancar.

Beliau turut melontarkan penghargaan kepada warga barisan hadapan yang telah berkorban ketika ancaman pandemik dan memohon supaya masyarakat terus berdisiplin kerana wabak Covid-19 masih menjadi ancaman.

Dalam majlis itu, Datuk Abdullah telah menyalurkan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin Bintangor untuk pendawaian semula Dewan Perdana sekolah itu dan RM3,000 kepada PDK Daerah Meradong untuk aktiviti tahunan. – EDISI UKAS

add comment