NGO Dayak Diseru Memahami & Melibatkan Masyarakat Dalam PCDS 2030

AHAD, 22 MEI 2022

BETONG: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dayak perlu memahami semua program di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, ini supaya mereka mengenal pasti perkara-perkara relevan serta menasihati masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berkaitan yang boleh manfaatkan mereka.

“Sekiranya masyarakat kurang faham serta tidak melibatkan diri dalam PCDS 2030, mereka akan ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Ini akan menjadi masalah seperti dahulu di mana ada yang mendakwa masyarakat diabaikan secara sengaja,” jelasnya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2022 Peringkat Bahagian Betong di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di sini pada Sabtu.

Beliau menegaskan, PCDS 2030 boleh dimanfaatkan oleh semua rakyat Sarawak tidak kira kaum, agama, latar belakang mahupun tempat asal.

“Dalam pada itu, masyarakat Dayak harus mempunyai minat dan juga komitmen untuk melibatkan diri dalam usaha membangunkan negeri,” ujarnya lagi.

“Mereka boleh mengumpulkan aset dan sumber di samping menggunakan kecerdikan yang dimiliki golongan kaum Dayak yang kebanyakannya kini merupakan orang berkelayakan termasuk mempunyai gelaran Doktor Falsafah (PhD),” katanya.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, PCDS 2030 merupakan idea yang dicetuskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg demi menjadikan Sarawak sebuah wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Jelasnya, strategi yang berlandaskan data, teknologi serta inovasi itu mensasarkan kesejahteraan dan juga peningkatan kualiti hidup rakyat di samping menaiktaraf kualiti kemudahan pendidikan di sini.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, Betong merupakan antara bahagian yang terutama dari segi pengagihan infrastruktur dan kemudahan.

“Cabaran seterusnya adalah untuk melaksanakan program yang sesuai bagi membolehkan masyarakat menjana pendapatan,” tambahnya.

Pada majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak itu turut berkesempatan menyeru rakyat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuk oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Acara kemuncak bagi majlis tersebut adalah pertandingan Kumang Gawai Dayak Betong 2022 di mana Ullia Ulanda Rumpang, seorang Jurutera Projek berusia 23 tahun, berjaya meraih gelaran juara manakala Helina Laing Dugat, pelajar, dan Angeline Luyah Wheeler Hersey, cikgu, yang kedua-dua berumur 24 tahun masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Piala serta hadiah lain telah disampaikan kepada para pemenang oleh isteri Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Doreen Mayang. -Edisi UKAS

add comment