Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak Kembali Anjur Majlis ‘Ladong Bio Lepa Ajau’

AHAD, 22 MEI 2022

BELAGA: Selepas dua tahun tidak diadakan, Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) Cawangan Sungai Asap kembali menganjurkan majlis ‘Ladong Bio Lepa Ajau’.

‘Ladong Bio Lepa Ajau’ dalam bahasa Kenyah adalah majlis kesyukuran dan perhimpunan yang diadakan secara besar-besaran bagi melahirkan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian padi pada musim menuai yang lepas.

Majlis kali ini diadakan di Long Busang, Daerah Bukit Mabon pada Sabtu dan turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Wilson yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Malaysia berkata beliau menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 setiap tahun kepada PKKS bagi menganjurkan majlis tersebut.

Pada masa sama, beliau menyarankan kepada penduduk Long Busang untuk berbincang memilih tempat yang sesuai dan tinggi bagi membuat penempatan yang baru kerana penempatan sedia ada kerap dilanda banjir.

Dalam majlis sama, Datuk Wilson telah menyumbang bantuan dana kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berjumlah RM15,000, Biro Wanita sebanyak RM8,000 dan Jawatankuasa Gereja SIB berjumlah RM10,000. – EDISI UKAS

add comment