Program Jualan Malaysia Parlimen Kapit Dapat Sambutan Menggalakkan

AHAD, 22 MEI 2022

KAPIT: Program Jualan Malaysia (PJM) diteruskan di kawasan Parlimen P.215 Kapit selama dua hari dari 21 hingga 22 Mei 2022 bertempat di Perkarangan Dewan Suarah Kapit.

Ianya dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merangkap Ahli Parlimen Kapit sendiri, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi pada Ahad.

Menurut Dato’ Sri Alexander, PJM adalah salah satu inisiatif dan langkah proaktif KPDNHEP bertujuan meringankan kos sara hidup dan beban hidup rakyat terutamanya menjelang sambutan Hari Gawai yang bakal menjelang tiba.

Sebanyak 14 gerai dan peniaga mengambil bahagian menjual barangan keperluan harian, kraftangan dan produk tempatan dengan Supermarket Keluarga Kapit merupakan vendor utama PJM kali ini.

PJM Parlimen Kapit mendapat sambutan menggalakkan menyaksikan kira-kira 200 hingga 300 orang ramai mengunjunginya setiap hari.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Dan Adat Resam Negeri) merangkap ADUN Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato’ Azman Mohd Yusof dan ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang. – EDISI UKAS

add comment