Program Raya Gawai & Kaamatan di Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan Disambut Baik

KUCHING: Suasana di Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan, Selangor diceriakan dengan Program Raya Gawai dan Kaamatan yang telah mendapat sambutan mengalakkan bukan sahaja daripada warga Selangor dan Kuala Lumpur sendiri malahan juga daripada warga Sabah dan Sarawak yang menetap di situ.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Dato Hanifah Hajar Taib memberitahu, penganjuran program sebegini penting bagi menarik perhatian pengunjung terhadap keunikan budaya dan makanan dari Sabah dan Sarawak.  

“Program seumpama ini juga memberi peluang kepada warga Sabah dan Sarawak yang tidak berkesempatan balik ke kawasan masing-masing pada musim perayaan ini untuk mengubati perasaan rindu mereka.

“Selain diceriakan dengan persembahan kebudayaan serta jualan barangan yang sukar didapati di Semenanjung Malaysia, aspek yang paling penting semestinya ialah jualan pelbagai juadah makanan tradisi Sabah dan Sarawak,’’ katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan program tersebut pada Sabtu.  

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Mukah menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan serta para penjaja yang bertungkus lumus menjayakan Program Raya Gawai dan Kaamatan itu.

Antara pengisian program termasuk sesi jualan pelbagai jenis barangan dan makanan dan juga persembahan daripada penyanyi jemputan, tarian kebudayaan, serta pertandingan karaoke. -Edisi UKAS

add comment