AHAD, 22 MEI 2022
DARO: Pusat Niaga bernilai RM2.1 juta akan dilaksanakan di seluruh kampung di Pulau Bruit, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol.
Katanya, permohonan pusat niaga itu telah diajukan dengan permulaan kos sebanyak RM300,000 di bawah seliaan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bruit.
Mengenai Perumahan Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) Semop, beliau berkata ia masih dalam proses penilaian permohonan yang tertangguh melibatkan permohonan daripada orang luar.
Katanya, ia memerlukan penilaian semula permohonan tersebut yang memerlukan perhatian dan kerjasama segera daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan PNK Bruit.
Datuk Abdullah berucap demikian semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN N.42 Semop di Dewan Serbaguna Kampung Bruit Daro pada Ahad.
Menjelas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) menegaskan amat mengambil perhatian serius terhadap isu ketiadaan bekalan air bersih di kawasan itu terutama di tiga kampung sebelah utara Pulau Bruit.
Selain itu, ia termasuk isu kelewatan baikpulih ban pertanian di Kampung Bruit yang disebabkan kelewatan agensi yang terlibat.
“Isu ini telah saya ambil perhatian sejak saya mula menjadi wakil rakyat di kawasan ini dan telah banyak kali mengadakan perbincangan bersama agensi bagi menyelesaikan masalah ini.
“Kesabaran dan usaha keras sangat penting kepada semua dalam proses membawa pembangunan ke kawasan Semop yang sangat luas,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab berkata kerajaan akan sentiasa berusaha membantu rakyat dengan merancang pelbagai projek pembangunan.
Jelasnya, isu ban yang rosak sebelum ini akan diambil perhatian segera supaya penduduk kampung dapat menjalankan aktiviti pertanian dengan lebih mudah.
Mengenai program itu, beliau berkata kemeriahan sambutan Hari Raya tahun ini amat luar biasa yang berpunca daripada hasil usaha kerajaan memberikan projek pembangunan di kawasan itu.
Pada sebelah petang, Datuk Abdullah dan Ir Yusuf menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di dua lagi lokasi iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Tekajong Daro dan di Dewan Serbaguna Kampung Penipah Daro.
Antara pengisian program di ketiga-tiga lokasi tersebut adalah penyampaian duit raya kepada kanak-kanak bawah 12 tahun yang hadir, cabutan nama bertuah dan penyampaian cenderahati. – EDISI UKAS