Sokong Kepimpinan Sarawak Sedia Ada Untuk Perhebatkan Pembangunan Dan Memperkukuhkan Perpaduan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sokong Kepimpinan Sarawak Sedia Ada Untuk Perhebatkan Pembangunan Dan Memperkukuhkan Perpaduan
0 Comments

AHAD, 22 MEI 2022

KUCHING: Masyarakat di Sarawak diminta untuk terus menyokong kepimpinan Sarawak yang ada pada hari ini. 

Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, ini adalah untuk memastikan agenda pembangunan di negeri ini akan terus diperhebat di samping memperkukuhkan perpaduan sedia ada. 

“Semuanya ini akan dapat diuruskan dengan baik sekiranya kita duduk bersama seperti malam ini dalam suasana muhibbah dan mengadakan perbincangan dengan baik.

“Segala apa yang akan dilakukan itu adalah untuk kebaikan semua penduduk dan rakyat Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Badminton Kampung Haji Drahman 2 yang dihadiri lebih 300 penduduk pada Sabtu.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua penduduk Kampung Tabuan Hj Drahman 1 dan 2.

Ujarnya, kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini masih lagi terasa di mana masih banyak rumah terbuka dan sambutan Ramah Tamah Aidilfitri diadakan di Sarawak. 

“Di Sarawak, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini sangat meriah sekali.

“Keadaan ini sangat berbeza dengan tempat lain dengan Sarawak menyambut Hari Raya Aidilfitri selama sebulan. 

“Pada tahun ini, rakyat Sarawak turut sama meraikan satu lagi perayaan iaitu Gawai yang diraikan masyarakat Dayak pada bulan depan,” katanya. 

Pada majlis itu, beliau telah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 315 orang golongan asnaf yang terdiri 176 dari Kampung Tabuan Hj Drahman 1 dan 139 dari Kampung Tabuan Hj Drahman 2. 

Hadir sama Penghulu Kampung Tabuan Hj Drahman Jarawi Lias, Ketua Kaum Kampung Tabuan Hj Drahman Wan Shahapudin, Kaunselor Majli Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Saamah Bojeng, Ketua Ranting PBB Kampung Tabuan Hj Drahman 1 Abdullah Mokhtar dan Ketua Ranting PBB Kampung Tabuan Hj Drahman 2 Adi Kamar. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *