Datuk Amar Douglas Uggah Terima Kunjungan Hormat Duta Belgium

ISNIN, 23 MEI 2022

KUCHING: Duta Belgium ke Malaysia, Pascal H. Gregory mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Isnin.

Rombongan Pascal turut disertai Pengarah Kanan Pelabuhan Antarabangsa Antwerp-Bruges di Belgium, Mario Lievens dan Perunding Kanan, Michiel Dubos.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD), Datu Safri Zainudin ketika ditemui menjelaskan kunjungan hormat itu adalah untuk berbincang bagi melihat peluang kerjasama antara Pelabuhan Antarabangsa Antwerp-Bruges dan Pelabuhan Kuching.

Ujarnya juga, Pelabuhan Belgium kini sedang bekerjasama serta menguruskan pelabuhan lain termasuk di Afrika, Brazil dan Abu Dhabi.

Dalam pada itu, Pelabuhan Antarabangsa Antwerp-Bruges merupakan pelabuhan eksport terbesar di Eropah dan salah satu daripada pelabuhan kontena terkemuka.

Lokasinya yang berpusat, hubungan dengan pasaran global yang luas dan sebahagian besar kawasan pedalaman Eropah digabungkan dengan infrastruktur yang baik menjadikan pelabuhan itu sebagai pilihan yang terbaik untuk peluang perniagaan.

Ia juga bertujuan untuk menjadi pintu masuk tenaga ke Eropah sebagai ‘pelabuhan hijau’.

Menjelang 2028, pelabuhan tersebut turut merancang mempunyai kapasiti untuk menerima molekul hidrogen hijau pertama dan kini sedang berusaha mengembangkan kapasiti terminal untuk pembawa hidrogen sedia ada dan baharu di kedua-dua tapak pelabuhan.

Hadir sama semasa kunjungan hormat itu, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggie.-EDISI UKAS

add comment