ISNIN, 23 MEI 2022
KUCHING: Agensi-agensi yang terlibat dalam keputusan kelulusan projek perumahan serta bangunan komersial di Stakan perlu menjalankan kajian terperinci mengenai aliran trafik, tekanan air dan banjir kilat yang berlaku di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim juga memohon agar kajian semula dilaksanakan terhadap mana-mana projek di situ yang sudah diluluskan tetapi belum dibina.
Katanya, Stakan kini semakin menjadi tumpuan dengan kepadatan penduduk kian meningkat dan pertambahan jumlah perumahan.
“Keadaan ini jelasnya menyebabkan kemudahan yang disediakan termasuk kemudahan infra rakyat tidak dapat menampung keperluan peningkatan penduduk.
“Masalah utama yang membelenggu penduduk ialah kesesakan lalu lintas luar biasa yang bukan sahaja berlaku di waktu puncak tetapi di luar waktu puncak.
“Perkara ini menimbulkan banyak rungutan di kalangan penduduk sehingga ada yang menyamakan keadaan di Stakan sama dengan kesesakan yang berlaku di ibu negara kita, Kuala Lumpur,” katanya semasa mengambil bahagian dalam Perbahasan Usul Penghargaan Atas Ucapan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Isnin.
Jelasnya, Stakan juga berdepan masalah tekanan air rendah di kawasan perumahan terutama di kawasan Samarindah yang mempunyai kepadatan penduduk hampir 3,000 buah rumah.
Tambah beliau, Stakan juga kerap berdepan masalah banjir kilat terutama di kawasan-kawasan perumahan hingga menimbulkan kesulitan dan keresahan di kalangan penduduk kerana ia menjejas kehidupan seharian mereka.
Menjelas lanjut, Datuk Hamzah juga berharap supaya balai polis dapat diwujudkan di kawasan Stakan bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk.
“Dengan wujudnya balai polis di Stakan, maka dapatlah anggota dari balai berkenaan melakukan rondaan khusus dalam kawasan Stakan yang berkepadatan penduduk hampir setara dengan jumlah penduduk di sesetegah kawasan di Bandaraya Kuching.
“Saya juga ingin memohon agar agensi yang terlibat dengan pembangunan sektor ekonomi dan program memperkasakan usahawan muda di Sarawak, supaya membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda di kawasan Stakan.
“Agensi seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) misalannya, boleh membantu mengadakan seberapa banyak kursus, selain menyediakan bantuan teknikal dan geran khusus ke arah melahirkan lebih ramai usahawan muda dan baharu dari Stakan,” katanya.
Menjelas lanjut, Datuk Hamzah berkata pihak Kerajaan perlu komited untuk mendidik pelajar sekolah dan belia berkaitan sistem demokrasi negara, termasuk negara-negara lain, dalam usaha memberi kesedaran tentang pentingnya menjalankan tanggungjawab dalam sesuatu Pilihanraya.
Ujarnnya, pendidikan mampu mematangkan pengundi muda untuk memilih individu atau kumpulan yang diyakini boleh memimpin negara ini amnya dan negeri Sarawak khasnya untuk menjadi sebuah negara yang maju dan progresif pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah mencadangkan supaya industri hidrogen diperluaskan ke luar bandar supaya dapat turut dinikmati oleh masyarakat luar bandar di Sarawak dan tidak hanya tertumpu di bandar-bandar sahaja.
Beliau juga memuji visi jauh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menekankan kepada usaha membangunkan industri hidrogen, menjadikan Sarawak salah satu peneraju utama bagi industri itu di dunia. – EDISI UKAS