ISNIN, 23 MEI 2022
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk menjadi negeri contoh diteladani dalam melahirkan lebih ramai generasi pegawai di dalam jabatan dan agensi awam yang berintegriti tinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya berkata, program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang diperkenalkan adalah bagi memastikan semua pentadbiran agensi kerajaan di Sarawak lebih telus serta bebas daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa.
“Organisasi ini meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap tuan-tuan dan puan-puan untuk menyumbang dalam pembentukan moral dan etika yang terbaik khususnya dalam kalangan jentera penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Menjadi harapan saya agar semua penjawat awam dapat menjadi pemangkin kepada pemantapan budaya integriti di negeri ini sekaligus menjadikan Sarawak bukan sahaja negeri yang maju pada 2030 namun warganya mengamalkan prinsip integriti yang tinggi,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Hotel Raia pada Isnin.
Dalam pada itu katanya, barisan anggota Kabinet negeri telah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah pada 27 Januari lepas yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan Sarawak memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat bahkan juga diterapkan di dalam organisasi.
Justeru ujar beliau, kebanyakan peserta terdiri dari kalangan pegawai daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian, Jabatan, Badan Berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Untuk rekod, seramai 80 orang peserta telah mengikuti program kali ketiga ini dan ia merupakan peserta yang paling ramai pernah dikendalikan oleh Akademi Pencegah Rasuah Malaysia (MACA). – EDISI UKAS