ISNIN, 23 MEI 2022
KUCHING: Sebanyak lima buah rumah panjang di kawasan Pelata yang masih belum mempunyai jalan penghubung desa perlu dilengkapi dengan jalan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, memandangkan jalan penghubung desa dari jalan pesisir ke Benawa telah pun siap dibina, maka projek bagi menghubungkan jalan Benawa ke rumah-rumah panjang itu perlu dibina.
“Rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Tundan, Rumah Liai, Rumah Ngelantar dan Rumah Jamit.
“Ketika ini, rumah panjang ini hanya menggunakan perahu untuk menyebarangi Batang Balingian untuk urusan harian dan menyukarkan mereka apabila berlaku kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada usul penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, pada Isnin.
Sementara itu, Abdul Yakub memberitahu, Jalan Persekutuan Balingian ke Sungai Anak yang telah lama dibina perlu diberikan perhatian oleh agensi berkaitan.
Tambahnya lagi, jalan berkenaan harus diselenggara dan diteruskan pembinaan bagi menghubungkan ke Jalan Pan Borneo demi keperluan rakyat di kawasan itu.
“Pembinaan jalan ini bukan sahaja sebagai jalan alternatif Balingian – Bintulu, malah menjadi jalan utama kepada penduduk di sepanjang laluan tersebut untuk akses kepada jalan pesisir pantai dan juga Jalan Pan Borneo,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan Hospital Mukah baharu untuk dibina di kawasan Mateding susulan lokasi strategiknya yang melibatkan penduduk dari kawasan Tamin, Kakus, Tellian termasuk Balingian.
Dalam pada itu, Klinik Balingian yang sedia ada juga perlu dibaik pulih dan dinaik taraf dari segi kemudahan mesin hemodialisis, baik pulih kuarters, kemudahan farmasi dan tambahan bilangan katil pesakit.
Tambah Abdul Yakub lagi, susulan penemuan minyak dan gas baharu di telaga cari gali ‘wildcat’ Sirung-1 yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian, beliau cadangkan semula bagi projek pendaratan hasil minyak dan gas di Mateding untuk dilaksanakan.
“Zon Industri Mateding adalah lokasi yang paling strategik dicadangkan untuk penubuhan projek ini.
“Pendaratan hasil minyak dan gas ini bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang baharu untuk dimanfaatkan oleh rakyat dan pemain industri di bahagian Mukah secara keseluruhannya,” jelasnya. -EDISI UKAS