Penambahan Lot Kampung Melayu Bau Dibuka Di Pengkalan Bidi

ISNIN, 23 MEI 2022

BAU: Penambahan lot bagi Kampung Melayu Bau akan dibuka di kawasan Pengkalan Bidi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep memberitahu, perkara tersebut telah dipersetujui oleh semua ketua kampung bagi menambah kawasan lot ataupun satu perkampungan baharu untuk masyarakat Melayu di daerah Bau.

“Jadi, kita tunggu kelulusan daripada pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarawak terlebih dahulu agar kerja-kerja pembinaan infrastruktur dilaksanakan dalam masa terdekat,’’ jelasnya dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Bau pada Sabtu.

Beliau berkata, lot penambahan bagi kampung tersebut yang dicadangkan di kawasan Taman Mutiara sebelum ini tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan tanah yang berbuki dan berbatu di situ.

Tegasnya lagi, kampung tersebut tidak akan dipindahkan seperti mana didakwa oleh pihak tertentu.

“Sebaliknya, lot kampung akan ditambah di kawasan Pengkalan Bidi kerana saya difahamkan, memang ramai penduduk kampung yang menanti perkara tersebut akibat penambahan bilangan ahli keluarga dalam sesebuah rumah,’’ ujar beliau.

Sementara itu, Dato Henry Harry Jinep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru mencadangkan agar kantin terapung dibina di sebuah kolam terbiar di Kampung Pengkalan Bau.

“Sekiranya mendapat persetujuan daripada pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, ia boleh digunakan sebagai perusahaan kecil dan juga sebagai satu lagi mercu tanda bagi Kampung Pengkalan Bau,’’ katanya.

Pada majlis tersebut, beliau telah meluluskan dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM150,000 bagi tahun 2023 untuk kerja-kerja menambah baik Dewan Serbaguna Kampung Melayu Bau.

RM20,000 pula diperuntukkan menerusi dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk pembelian kerusi dan meja.

Turut hadir ialah Ketua Masyarakat Bau, Penghulu Wahab Mainol, Ketua Kampung Melayu Bau, Zawawi Hamdan, Ketua Kampung Pangkalan, Zainal Mat, serta Ketua Kampung Buso, Sakawi Bujang. -Edisi UKAS

add comment